"Kita tidak seharusnya mencari yang terbaik, jadilah yang terbaik, nescaya akan datang pada kita yang terbaik."
Namun, dasar seorang manusia, kita sering tergugah dengan sesuatu kebaikan, kita lupa, kebaikan itu luas, subjektif.
Justeru, kita akan sering teringin untuk mencari yang terbaik, hingga, kadang-kadang kita lupa, kita ini siapa untuk mencari yang terbaik itu? Layakkah kita?
Sebagai seorang remaja, normal dan biasa, tidak terlepas juga untuk saya diduga dengan lintasan-lintasan hati yang sangat menguji.
Pernah saya menyoal pada seorang sahabat, apakah lintasan-lintasan ini? Sekadar duga, atau petanda? Apa hikmahnya?
Jika ini ujian, ya saya terima, tapi apa hikmahnya? Apa yang ingin Tuhan bicarakan dengan saya?
"Bila sampai seru, takdir, maka yang pelik akan menjadi biasa." Abang Fuad malam itu penuh lagak bercerita, sambil menunggu makanan yang dipesan di restoran itu.
"Maksudnya?" Saya mula menagih penjelasan.
"Jika ditakdirkan jodoh, hari ini berkenalan, esok sudah bernikah, Allah boleh buat apa sahaja, itulah takdir." Dia menyambung.
"Ooo, ok, saya nak tanya sedikit boleh?"
"Mengenai apa?"
Tersenyum, saya sudah lama menyimpan soalan ini.
"Kenapa kadang-kadang kita ada lintasan rasa yang sangat sukar ditepis, apa tandanya?"
Abang Fuad agak selamba mendengar. Saya kira dia sudah faham, atau buat-buat tidak faham.
"Maksudnya, cuba terangkan lagi soalan itu." Saya sudah agak.
"Bagaimana jika sesuatu lintasan rasa terhadap kita itu, mahu ditentukan sebagai suatu ujian, atau suatu petanda?" Saya cuba berselindung lagi.
"Semua petanda, adalah ujian. Begitulah sebaliknya. Jika rasa yang hadir itu lain daripada yang lain, maka, eloklah beristikharah." Senang sahaja jawapannya.
"Cepatnya?"
"Tidak, ini untuk mencari keputusan hati, istikharahlah, mana tahu, mungkin itu takdirnya."
"Bagaimana kita nak pastikan, bahawa itu yang terbaik buat kita?" Saya bertanya lagi.
Sahabat-sahabat yang lain sedang khusyuk menonton permainan bola sepak secara langsung. Saya kira mereka tidak menyedari perbualan 'hangat' kami ini.
Saya teringat suatu kisah, yang saya dapat daripada Abang Fuad juga.
Pada suatu hari di sekolah, seorang pelajar bertanya kepada gurunya. Ketika itu, guru tersebut sedang mengajar mengenai kasih sayang.
Pelajar itu bangun dari kerusi duduknya, "Cikgu, bagaimana kita ingin memilih seseorang yang terbaik sebagai orang yang paling kita sayang?"
Guru tersebut tersenyum, "Ok, kamu ikut apa yang cikgu suruh. Kamu pergi ke padang, kamu berjalan di atas rumput sambil memandang rumput yang terbentang di depan kamu. Pilihlah rumput yang paling cantik, tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Petiklah rumput yang kamu rasakan ianya paling cantik. Kemudian bawa ke kelas."
Apabila pelajar tersebut pulang semula ke kelas, tiada sehelai rumput pun di tangannya. Guru itu bertanya, "Kenapa tiada rumput yang dipilih?"
Jawab pelajar itu, "Tadi, semasa saya tengah berjalan, saya sudah pun mencari rumput yang paling cantik. Memang ada, banyak sekali rumput yang cantik tapi cikgu cakap, petik yang paling cantik. Maka saya pun teruskan berjalan ke depan sambil mencari rumput yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang walaupun sekali. Sehinggalah saya tiba di hujung padang, saya tidak juga menjumpai rumput yang paling cantik. Mungkin rumput di antara belakang saya tadi ada yang cantik, tapi, disebabkan cikgu tidak benarkan saya menoleh ke belakang semula, maka tiadalah rumput yang paling cantik untuk saya petik."
Agak-agak, apakah jawapan yang bakal guru itu berikan?
Usahlah mencari yang terbaik, apa yang ada di depan itulah yang terbaik. Usah mencari yang terbaik, tapi jadilah yang terbaik. Usah menoleh ke belakang lagi, teruskan mara.
Apa yang sudah ketinggalan, biarpun ada di antaranya yang terbaik, usahlah cuba berharap lagi. Apabila kita sudah bertemu dengan seseorang, usahlah kita berusaha untuk mencari yang lebih baik lagi daripada dia. Kita patut hargai insan yang berada di depan kita sebaik-baiknya.
"Kita ini terlalu lemah dalam memilih."
Sambar Abang Fuad menyedarkan saya dari khayalan cerita tadi. Ya, benar, kita terlalu lemah dalam memilih.
"Bersikap matanglah, ini bukan soal pilihan lagi, ini ialah soal perasaan." Tambahnya.
"Abang tiada jawapan untuk soalan tadi, namun, jika benar-benar untuk tahu, beristikharahlah, abang harap, kita tidak lemas dalam lautan perasaan, terkapai-kapai, hingga tenggelam."
"Kita ibarat pelajar yang mencari rumput tercantik, akhirnya..."
Saya menyimpulkan..
"Tidak usah terlalu berfikir, kita masih jauh dalam permusafiran, perkara-perkara begini, seperti yang pernah abang cakapkan, subjektif dan infiniti."
"Ya abang, saya masih cuba berenang dalam lautan perasaan yang dalam ini, agar tidak lemas." Saya sengaja menilai diri sendiri.
Berikanlah yang terbaik, bukan mencari yang terbaik. Saya berbicara dalam adaptasi sebuah kisah dan dialog.
Untuk saya bercakap seorang diri tentang hal ini, siapalah saya. Kisah ini, adalah untuk sahabat yang setakah dengan saya, alam remaja, klimaks sebuah noda.
Pada celahan rumput itu, kita mencari sesuatu. Tapi biar bertepatan pada waktu, usah terlalu menunggu.
Perasaan akan sentiasa melintas, umpama padang akan sentiasa ditumbuhi rumput. Usah dicari perasaan yang hakiki, kerana semuanya dugaan yang berhikmat tinggi.
Pada celahan rumput itu, terlalu mencari, akan menyusul kecewa berganti. Jika kita benar-benar menyedari, pada hemat sebuah rasa, maka, kenapa kita perlu takut untuk tidak mengendahkan. Perasaan akan sering hadir, jerihlah kita untuk sentiasa melayani.
Mungkin ada di antaranya satu hikmah berganda, tapi, seperti biasa, berselambalah. Jadilah lelaki, bukan romeo, bukan juga majnun. Jika romeo, maka, itu bukti bahawa kita telah lemas dalam lautan perasaan.
Jika majnun, itu buktinya bahawa kita sudah gila. Justeru, usah menjadi mereka, tapi jadilah kita. Jika ada rasa yang kuat mendesak, beristikharahlah.
Jika kita tidak mendapat apa yang kita suka, maka, kita perlu suka apa yang kita dapat.
Pada celahan rumput itu, pasti ada, rasa yang benar hakiki. Pelajar itu pun buntu mencari, begitu juga kita. Cuma, mohon ditetapkan hati. Mohon, agar, segalanya bererti, bukan hanya, mainan sebuah kehidupan dan perasaan.
kata hati :
Ya Rahman, bimbinglah hatiku ini,...bersyukur dengan segala nikmatMu,......jagalah hatiku ini untuk mendapat redhaMu,...hamba yang lemah ini memohon petunjuk dan hidayahMu Ya Rahman...