Saturday, May 17, 2014

Dia Penyubur Jiwa



Dia suburkan jiwa yang kontang,
Wajah manis yang mendamaikan,
Senyuman bahagia bukan kepalang,
Berkongsi memberi penuh semangat kesungguhan.

Dia memberi sinar buat diri,
Menyuluh kehidupan bererti,
Menjadikan diri insan memberi,
Dia yang sentiasa ku ingati.

Kesabaran kesungguhan sangat tinggi,
Tidak pernah ku lihat mereka alpa walau sekali,
Memberi kasih dan ilmu buat semua insani,
Dia penyuluh cahaya dari ku kecil hingga kini.

Dia yang bernama guru, cikgu, pensyarah, ustaz, ustazah, murabbi, muallim,
Seumpamanya mereka menyuluh kegelapan,
Jasa mereka buat kehidupan dalam keringat yang diperah,
Dengan izinNya syurga tertinggi sebagai balasan.

Terima kasih ku ucapkan buat mereka insan hebat,
Semoga hebatnya mereka di mata ku juga di sisi Pencipta,
Tidak terbalas jasa dalam mendidik dan merenjiskan keringat,
Sungguh ku amat merindui dan mengingati setiap satu meraka.

Ku ucapkan SELAMAT HARI GURU
Semoga kalian dirahmati dan terus dilimpahi kasih sayang Tuhan...

Nukilan 
Nurul Izzati Binti Atan
16 Mei 2014
cahayahati_libra90@yahoo.com

Tadika Kesang Tasek, Sek Keb Kesang Tasek, Sek Agama Kesang Tasek, Sek Agama Simpang Lima Pekan, Sek Agama Bandar Pontian, Sek Agama Bukit Gambir, SMA Maahad Pontian, SMK Tun Perak, SMKA Maahad Muar, Pusat Bahasa Titian Jaya, Kolej Matrikulasi Johor, Universiti Teknologi Malaysia. 


Sunday, May 11, 2014

Kasih mu Ibu


Sebuah kasih ku rasakan,
Dari pelukan seorang insan bergelar ibu,
Dari ku kecil hingga ku besar,
Tidak pernah sekali jemu mengatur kehidupan ku.

Duhai ibu,
Anak mu rindu akan belai kasih mu,
Kata-kata yang terbit dari bibir mu,
Menjadi kekuatan dalam setiap apa yang ku lakukan,
Dari sekecil perkara hingga sebesar impian.

Ku terfikir,
Dapatkah diri ku  membelas setiap pengorbanan mu,
Setiap jerih perih engkau padaku,
Sungguh ibu, diriku tidak mampu
Kerana nilaian pengorbananmu hanya Dia yang Maha Menghitung.

Aku di sini...ibu,
Sedaya upaya mendoakan kesejahteraan, kebahagiaan dirimu,
Ku merintih agar Dia memberikan mu syurga,
Ya syurga, syurga adalah ganjaran selayaknya buat mu ibu,
Itu doa kudusku buatmu ibu.

Maaf kan ku andai perilaku dan percakapanku,
Sering melukakan hatimu,
Kadang kala aku terlupa,
Engkau ibu ku,.. syurgaku pada kakimu,
Redha Tuhan ku terletak pada redha mu, Ibu.....

Duhai insan bergelar anak,
Sedarlah ibu hanya pinjaman sementara,
Manfaatkan sementara dia di sini...
dengan menzahirkan bahagia kepada mereka,
Zahirkan dengan bertanya khabar,
Zahirkan dengan mendoakan,
Zahirkan dengan menjadi anak yang soleh,
Bukan anak yang toleh.
Hargailah....

Semoga kita semua menjadi anak-anak yang hebat,
Anak-anak yang menyayangi ibu kerana Allah,
 Doa anak yang soleh adalah amal yang tidak putus,
 Buat kehidupan mereka di sana nanti.

Kasih mu amat bernilai buat ku IBU...........

Nurul Izzati Atan
11052014
UTM Skudai


Tuesday, May 6, 2014

Rasa-rasa itu biasa

Terasa diri jemu di medan,
Terasa longlai dalam melangkah,
Terasa malas untuk mengorak,
Terasa untuk berhenti di persimpangan,
Adakah rasa itu sudah penamat.

Jalanan seorang pejuang bukan setakat rasa-rasa,
Malah besar lagi ujian yang bakal ditempuh,
Rasa-rasa itu biasa..
Biasa dalam proses kehidupan insan bergelar hamba
Insan bergelar khalifah.

Dilantiknya kita sebagai pejuang kehidupan,
Perancang kehidupan bukan biasa-biasa,
Tetapi hadirnya kita untuk mencipta luar biasa,
Itu perjalanan kehidupan yang penuh dengan rangka.

Rasa-rasa itu biasa,
Kerana kita insan biasa,
Yang mudah lupa dek pesona dunia,
Rasa ingin bersenang-senang dengan masa,
Nikmat masa yang tiada tolok gandingnya.

Laluilah perjalanan mu insan dengan bahagia,
Dengan berpegang janji Sang Pencipta,
Kerana sesungguhnya dia tidak pernah berdusta,
Dalam mengurniai syurga buat sang hamba hina.

Sabar lah duhai pejuang,
Kata-kata pejuang hebat,
Di dunia tempat bersusah-susah,
Tempat berpayah-payah..
Kerana apa...
.....
.....
....
Kerana nilaian syurga itu teramatlah bernilai..
Bukan untuk insan yang biasa-biasa..tetapi untuk insan yang luar biasa..
Allahuakbar!
Allahuakbar!
Allahuakbar!


Nurul Izzati Atan
UTM Skudai

06052014

Wednesday, April 16, 2014

Ujian

Tetiba merasakan oowhh aku kuat,
Aku boleh buat,
Tersangat lah positif.. Allah bersama sangkaan hamba-hambanya..
Penuh kata-kata motivasi, hadis dan kalamullah,
Membisik di jiwa sanubari.

Namun insan, dalam kekuatan itu terselit kelemahan, ketidakupaya..
kerana kita hamba.. datang ujian kiri dan kanan 
tidak jemu akan musuh yang nyata..
menghasut, menggoda kita hingga kita terundur jatuh luka.

Jangan merasakan diri keseorangan,
Kerana Allah sentiasa ada dan dekat dengan diri insan,
Terasa lemah itu fitrah hamba,
Minta la kuat dan upaya pada Sang Pemilik jiwa,
Kerana Dia sahaja yang boleh memberi daya dan kuasa.

Namun, kita sering lupa kuasa Agung itu,
Kita mencari jalan untuk mendapat kuat dengan makhluk-makhluk yang lain,
Sedangkan mereka-mereka itu juga bersandar pada yang Maha Satu.

Kembalilah jiwa meminta pada Sang Pencipta,
Mungkin Dia menguji kerana kasih dan rahmat Nya buat kita,
Percayalah Dia tidak pernah dan tidak mungkin menzalimi kita,
Sebaliknya kita yang lupa asal tempat tercipta dari siapa.

Dia menguji agar kita lebih dekat dengan Nya,
Dia rindu mendengar rintihan hamba Nya,
Sungguh, Dia menilai setiap suatu usaha yang kita lakukan.

Usaha lah insan untuk capai redha Dia,
Usaha lah insan untuk capai bahagia,
Kerana hamba yang punyai nilaian Dia,
Tidak pernah berputus asa dengan rahmat kasih Nya,
Syukur dan teruskan melangkah...
Pasti dan pasti bahagia jua milik insan berjiwa hamba. 

Nurul Izzati Atan
16042014
UTM Skudai

Wednesday, March 12, 2014

Jemu


Kadang-kadang akan ada rasa jemu,
Jemu dengan rutin harian,
Perkara yang sama diulang-ulang,
Adakala batin menjerit minta dilepas.

Manusia diberi akal dan daya,
Fikiran yang hebat akan merencana,
Di luar kotak cuba dirungkai,
Agar perilakunya tidak sia-sia.

Corakkan rutin dengan perkara indah-indah,
Dengan memberi, berkongsi dan menerokai,
Kerana insan itu dalam nilaian Ilahi,
Proses nilaian yang memaknakan diri,
nilaian yang akan diberi syurga yang tinggi,
bukan semata-mata mengejar duniawi,
yang mungkin esok kita akan pergi,
bertemu di negeri akhirat yang abadi.

120314
Nurul Izzati Atan
UTM Skudai

Sunday, March 9, 2014

Menghalau Keresahan

Assalamualaikum...
Bismillah..

Semalam Malaysia dikhabarkan dengan kehilangan pesawat MH370... Allahuakbar,..tragedi ini menggemparkan seluruh dunia. Misi mencari dan menyelamat masih dijalankan. Mohon doakan kalian agar segala urusan dipermudahkan dan berjalan lancar. Semoga keluarga mangsa diberi ketabahan dalam menempuh ujian ini. 



Saya hendak berkongsi sebuah sajak. Ayah kepada sahabat saya yang menukilkan sajak ini. Subhanallah sangat mengagumi beliau. 

Menghalau Keresahan

Cuaca begitu panas sekali
Sudah lama tidak hujan
Ada keresahan di istana keadilan
Untuk sekian kali
Tabung surau dipecahkan lagi
Sebuah kapal terbang tiba-tiba hilang
Dan sukar dikesan
Sehingga kini
Kita masih mengharap keajaiban
Menghalau resah dari kehidupan
Dengan harga barangan
Yang tidak berketentuan
Dengan beban fikiran
Yang sering dipertikai
Anak-anak menjadi tidak keruan
Guru sekolah
Sudah keletihan
Ibubapa masih mengharap
Turunnya hujan
Kemakmuran.



Salam Kasih Sayang
Semoga kita sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

Thursday, March 6, 2014

InsyaAllah

Bismillahirrahmanirrahim....

Sudah lama kiranya saya tidak berkongsi sesuatu di blog ini. Entry kali ini saya hanya nak kongsikan tentang perkataan atau kalimah InsyaAllah...Pandangan ini daripada seorang hamba Allah yang sangat hebat saya kira. Kerana beliau telah banyak mengarang buku-buku Islamik. Hilal Asyraf...

Jom kita baca...

*********************************************************

Saya sering dianggap tidak serius dalam berjanji kerana pada akhir kalam saya dalam berjanji, saya letakkan kalimah "InsyaAllah".

Mungkin sudah jadi resmi orang ramai bahawa bila kata "InsyaAllah" seakan menandakan ketidak pastian. Saya juga asalnya begitu. Hinggalah pemilik kedai alat tulis di Jordan menyedarkan saya.

Saya nak fotostat kertas di kedai beliau. Saya pun cakap: "Pakcik, saya nak fotostat kertas ni."

Kemudian pakcik itu cakap: "Cakaplah InsyaAllah."

Saya hairan: "huh? Kenapa? Saya memang betul-betul nak fotostat kertas ni."

Pakcik itu cakap: "Iya, sebab itulah kena cakap InsyaAllah. Biar Allah izinkan kamu fotostat kertas ini. Tanda kamu sungguh-sungguh nak fotostat kertas ini. Itu adalah Doa."

Peristiwa itu mengubah perspektif saya terhadap kalimah "InsyaAllah".

Dan masa saya nak uruskan passport saya sebelum pulang ke Malaysia, sekali lagi saya diingatkan juga oleh pengecop passport saya. Penjaga itu tanya:

"Kamu nak pergi mana ni?"
"Balik Malaysia."

Suasana senyap seketika, sambil penjaga itu terus memandang saya.

Kemudian penjaga itu bersuara: "Katalah InsyaAllah."

Saya baru perasan yang saya lupa menyebutnya, lantas berkata: "Ah, InsyaAllah." Sambil tersenyum-senyum.

Rupa-rupanya penjaga itu tunggu saya sebut InsyaAllah, tanda saya memang sungguh-sungguh nak sampai ke Malaysia, mendoakan perjalanan saya agar saya benar-benar diizinkan Allah untuk sampai. Sungguh saya rasa terdidik.

Itu menyebabkan hingga ke hari ini, saya memang suka sebut insyaAllah. Pada saya, di dalamnya ada keseriusan untuk berusaha keras merealisasikan janji dan ada juga pergantungan penuh kepada Ilahi. Ia seiring dalam sebuah kalimah.

Namun saya faham kenapa kalimah ini dipandang 'tidak meyakinkan'.

Saya ada banyak kisah fasal InsyaAllah di Malaysia. Saya pilih satu sahaja.

1 - Saya berjanji dengan fulan bin fulan ini untuk bertemu pada sekian hari dan sekian jam. Fulan bin Fulan berkata - "InsyaAllah nanti ana datang."

Sampai pada hari yang ditetapkan, pada jam ditetapkan, orang yang ditunggu tak datang-datang. Kemudian barulah datang SMS: "Akhi, ana tak dapat datang ni. Ada urusan lain."

"Enta kan dah janji dengan ana tempoh hari?"
"Eh, ana cakap InsyaAllah je."

Dan peristiwa sedemikian berlaku banyak kali.

Memang padanlah orang kita mudah tidak yakin bila orang menyebut "InsyaAllah".

Muhasabah.
Sekadar berkongsi.

*********************************************************

Allah berfirman di dalam Surah Al - Kahfi (ayat : 23-24) yang membawa maksud:

" Dan jangan sekali-kali engkau menyatakan terhadap sesuatu, ' Aku pasti akan melakukan itu esok pagi '. Kecuali dengan menyatakan InsyaAllah. Dan ingatlah kepada Tuhanmu apabila engkau lupa katakanlah, 'Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku yang lebih dekat kebenarannya daripada ini ". 


Oleh itu, saya menasihati dan memperingatkan diri saya dan kalian juga agar memperbetulkan niat kita, akhlak dalam berbicara, serta meletakkan Allah dalam segala perkara yang kita lakukan. InsyaAllah iaitu dengan izin Allah, maka berazam lah bersungguh agar kita menggunakan kalimah ini dengan sebaiknya. Jangan diremehkan atau dipersendakan. Ubah cara kita berfikir dan niatkan kerana Allah. 

Semoga berkongsian ini bermanfaat dan dipraktikkan dengan sebaiknya. 

Salam Kasih Sayang Semua...(^_^)

Emosi seorang Ibu

Bismillah Hai semua, happy holiday.... Gembiranya zati lihat sahabat-sahabat Zati berjalan sana-sini. Ada yang berjalan ke luar negara d...