Sunday, June 29, 2014

Langkah ku Kini Berbeza

Langkah demi langkah,
Membina kedewasaan diri,
Terasa berat melangkah,
Namun, tanggungjawab besar bakal ku pikul kini.

Rasa sedih itu biasa,
Kerana langkah itu berbeza,
Engkau yang memilihnya,
Jangan biar rasa itu beraja,
kerana engkau telah memohon petunjuk Dia.

Kuatkan diri menempuh segala,
Engkau masih bergelar mahasiswa sarjana,
Ingat bukan biasa-biasa,
Lakukan ia dengan penuh bahagia.

Benar bukan mudah,
Benar jalannya berliku,
Lalui lah dengan sungguh,
Cekal lah menempuh,
Kerana takdirmu bukan biasa,
Tapi takdirmu menuju langkah ke syurga.

Janganlah engkau bermuram-durja,
Kerana engkau insan pilihan Dia,
Mengharungi dunia yang berbeza,
Berkorban rasa demi bangsa,
Semoga perjalananmu ini memberi cinta,
Cinta kepada setiap makhluk Nya.

Jangan lah engkau lupa,
Langkahmu membutu pergantungan hanya pada Dia semata,
Yang memberi luasnya kurnia,
Semua yang keliling pinjaman sementara,
Selamat berjuang wahai diri hina.

Sek Men Keb Semenchu itu lah dia,
Takdirku bersama kota juga felda,
Tidak ku duga,
Pasti Dia sebaik yang merencana,
Semoga dengannya aku membina jiwa,
Jiwa hamba yang luar biasa.

Alhamdulillah......

Nurul Izzati Atan
29 Jun 2014
1 Ramadhan 1435H

Wednesday, June 11, 2014

Sebenarnya

Sebenarnya kau mencari apa,
Hanya pandangan kosong,
Fikiran terawang,
Seksa sungguh rasa kosong,
Tanpa arah.

Sebenarnya kau perlu cinta,
Kau cari erti cinta,
Cinta yang dibalas,
Kasih yang tidak sebelah.

Bila ku lihat manusia,
Aku kosong kembali,
Lihat sekeliling penuh keduniaan juga ku kosong,
Mana sebenarnya cinta yang ku cari.

Sebenarnya...
Aku rindu...
Rindu teramat....
Rasa rindu pada yang membalas cinta,
Setiap yang indah tingkah ku pasti di balas,
Jika ku tersasar pasti Dia hamparkan kasih sayang Nya,
Agar aku kembali ke jalan kebenaran.

Sungguh bahagia bila di sayang,
Hembusan ketenangan di jiwa yang teramat damai,
Ya... rasa tenang itu yang ku cari,
Bahagia...
Cinta damai abadi....

11062014
Nurul Izzati Atan



Saturday, May 17, 2014

Dia Penyubur Jiwa



Dia suburkan jiwa yang kontang,
Wajah manis yang mendamaikan,
Senyuman bahagia bukan kepalang,
Berkongsi memberi penuh semangat kesungguhan.

Dia memberi sinar buat diri,
Menyuluh kehidupan bererti,
Menjadikan diri insan memberi,
Dia yang sentiasa ku ingati.

Kesabaran kesungguhan sangat tinggi,
Tidak pernah ku lihat mereka alpa walau sekali,
Memberi kasih dan ilmu buat semua insani,
Dia penyuluh cahaya dari ku kecil hingga kini.

Dia yang bernama guru, cikgu, pensyarah, ustaz, ustazah, murabbi, muallim,
Seumpamanya mereka menyuluh kegelapan,
Jasa mereka buat kehidupan dalam keringat yang diperah,
Dengan izinNya syurga tertinggi sebagai balasan.

Terima kasih ku ucapkan buat mereka insan hebat,
Semoga hebatnya mereka di mata ku juga di sisi Pencipta,
Tidak terbalas jasa dalam mendidik dan merenjiskan keringat,
Sungguh ku amat merindui dan mengingati setiap satu meraka.

Ku ucapkan SELAMAT HARI GURU
Semoga kalian dirahmati dan terus dilimpahi kasih sayang Tuhan...

Nukilan 
Nurul Izzati Binti Atan
16 Mei 2014
cahayahati_libra90@yahoo.com

Tadika Kesang Tasek, Sek Keb Kesang Tasek, Sek Agama Kesang Tasek, Sek Agama Simpang Lima Pekan, Sek Agama Bandar Pontian, Sek Agama Bukit Gambir, SMA Maahad Pontian, SMK Tun Perak, SMKA Maahad Muar, Pusat Bahasa Titian Jaya, Kolej Matrikulasi Johor, Universiti Teknologi Malaysia. 


Sunday, May 11, 2014

Kasih mu Ibu


Sebuah kasih ku rasakan,
Dari pelukan seorang insan bergelar ibu,
Dari ku kecil hingga ku besar,
Tidak pernah sekali jemu mengatur kehidupan ku.

Duhai ibu,
Anak mu rindu akan belai kasih mu,
Kata-kata yang terbit dari bibir mu,
Menjadi kekuatan dalam setiap apa yang ku lakukan,
Dari sekecil perkara hingga sebesar impian.

Ku terfikir,
Dapatkah diri ku  membelas setiap pengorbanan mu,
Setiap jerih perih engkau padaku,
Sungguh ibu, diriku tidak mampu
Kerana nilaian pengorbananmu hanya Dia yang Maha Menghitung.

Aku di sini...ibu,
Sedaya upaya mendoakan kesejahteraan, kebahagiaan dirimu,
Ku merintih agar Dia memberikan mu syurga,
Ya syurga, syurga adalah ganjaran selayaknya buat mu ibu,
Itu doa kudusku buatmu ibu.

Maaf kan ku andai perilaku dan percakapanku,
Sering melukakan hatimu,
Kadang kala aku terlupa,
Engkau ibu ku,.. syurgaku pada kakimu,
Redha Tuhan ku terletak pada redha mu, Ibu.....

Duhai insan bergelar anak,
Sedarlah ibu hanya pinjaman sementara,
Manfaatkan sementara dia di sini...
dengan menzahirkan bahagia kepada mereka,
Zahirkan dengan bertanya khabar,
Zahirkan dengan mendoakan,
Zahirkan dengan menjadi anak yang soleh,
Bukan anak yang toleh.
Hargailah....

Semoga kita semua menjadi anak-anak yang hebat,
Anak-anak yang menyayangi ibu kerana Allah,
 Doa anak yang soleh adalah amal yang tidak putus,
 Buat kehidupan mereka di sana nanti.

Kasih mu amat bernilai buat ku IBU...........

Nurul Izzati Atan
11052014
UTM Skudai


Tuesday, May 6, 2014

Rasa-rasa itu biasa

Terasa diri jemu di medan,
Terasa longlai dalam melangkah,
Terasa malas untuk mengorak,
Terasa untuk berhenti di persimpangan,
Adakah rasa itu sudah penamat.

Jalanan seorang pejuang bukan setakat rasa-rasa,
Malah besar lagi ujian yang bakal ditempuh,
Rasa-rasa itu biasa..
Biasa dalam proses kehidupan insan bergelar hamba
Insan bergelar khalifah.

Dilantiknya kita sebagai pejuang kehidupan,
Perancang kehidupan bukan biasa-biasa,
Tetapi hadirnya kita untuk mencipta luar biasa,
Itu perjalanan kehidupan yang penuh dengan rangka.

Rasa-rasa itu biasa,
Kerana kita insan biasa,
Yang mudah lupa dek pesona dunia,
Rasa ingin bersenang-senang dengan masa,
Nikmat masa yang tiada tolok gandingnya.

Laluilah perjalanan mu insan dengan bahagia,
Dengan berpegang janji Sang Pencipta,
Kerana sesungguhnya dia tidak pernah berdusta,
Dalam mengurniai syurga buat sang hamba hina.

Sabar lah duhai pejuang,
Kata-kata pejuang hebat,
Di dunia tempat bersusah-susah,
Tempat berpayah-payah..
Kerana apa...
.....
.....
....
Kerana nilaian syurga itu teramatlah bernilai..
Bukan untuk insan yang biasa-biasa..tetapi untuk insan yang luar biasa..
Allahuakbar!
Allahuakbar!
Allahuakbar!


Nurul Izzati Atan
UTM Skudai

06052014

Wednesday, April 16, 2014

Ujian

Tetiba merasakan oowhh aku kuat,
Aku boleh buat,
Tersangat lah positif.. Allah bersama sangkaan hamba-hambanya..
Penuh kata-kata motivasi, hadis dan kalamullah,
Membisik di jiwa sanubari.

Namun insan, dalam kekuatan itu terselit kelemahan, ketidakupaya..
kerana kita hamba.. datang ujian kiri dan kanan 
tidak jemu akan musuh yang nyata..
menghasut, menggoda kita hingga kita terundur jatuh luka.

Jangan merasakan diri keseorangan,
Kerana Allah sentiasa ada dan dekat dengan diri insan,
Terasa lemah itu fitrah hamba,
Minta la kuat dan upaya pada Sang Pemilik jiwa,
Kerana Dia sahaja yang boleh memberi daya dan kuasa.

Namun, kita sering lupa kuasa Agung itu,
Kita mencari jalan untuk mendapat kuat dengan makhluk-makhluk yang lain,
Sedangkan mereka-mereka itu juga bersandar pada yang Maha Satu.

Kembalilah jiwa meminta pada Sang Pencipta,
Mungkin Dia menguji kerana kasih dan rahmat Nya buat kita,
Percayalah Dia tidak pernah dan tidak mungkin menzalimi kita,
Sebaliknya kita yang lupa asal tempat tercipta dari siapa.

Dia menguji agar kita lebih dekat dengan Nya,
Dia rindu mendengar rintihan hamba Nya,
Sungguh, Dia menilai setiap suatu usaha yang kita lakukan.

Usaha lah insan untuk capai redha Dia,
Usaha lah insan untuk capai bahagia,
Kerana hamba yang punyai nilaian Dia,
Tidak pernah berputus asa dengan rahmat kasih Nya,
Syukur dan teruskan melangkah...
Pasti dan pasti bahagia jua milik insan berjiwa hamba. 

Nurul Izzati Atan
16042014
UTM Skudai

Wednesday, March 12, 2014

Jemu


Kadang-kadang akan ada rasa jemu,
Jemu dengan rutin harian,
Perkara yang sama diulang-ulang,
Adakala batin menjerit minta dilepas.

Manusia diberi akal dan daya,
Fikiran yang hebat akan merencana,
Di luar kotak cuba dirungkai,
Agar perilakunya tidak sia-sia.

Corakkan rutin dengan perkara indah-indah,
Dengan memberi, berkongsi dan menerokai,
Kerana insan itu dalam nilaian Ilahi,
Proses nilaian yang memaknakan diri,
nilaian yang akan diberi syurga yang tinggi,
bukan semata-mata mengejar duniawi,
yang mungkin esok kita akan pergi,
bertemu di negeri akhirat yang abadi.

120314
Nurul Izzati Atan
UTM Skudai

Sunday, March 9, 2014

Menghalau Keresahan

Assalamualaikum...
Bismillah..

Semalam Malaysia dikhabarkan dengan kehilangan pesawat MH370... Allahuakbar,..tragedi ini menggemparkan seluruh dunia. Misi mencari dan menyelamat masih dijalankan. Mohon doakan kalian agar segala urusan dipermudahkan dan berjalan lancar. Semoga keluarga mangsa diberi ketabahan dalam menempuh ujian ini. 



Saya hendak berkongsi sebuah sajak. Ayah kepada sahabat saya yang menukilkan sajak ini. Subhanallah sangat mengagumi beliau. 

Menghalau Keresahan

Cuaca begitu panas sekali
Sudah lama tidak hujan
Ada keresahan di istana keadilan
Untuk sekian kali
Tabung surau dipecahkan lagi
Sebuah kapal terbang tiba-tiba hilang
Dan sukar dikesan
Sehingga kini
Kita masih mengharap keajaiban
Menghalau resah dari kehidupan
Dengan harga barangan
Yang tidak berketentuan
Dengan beban fikiran
Yang sering dipertikai
Anak-anak menjadi tidak keruan
Guru sekolah
Sudah keletihan
Ibubapa masih mengharap
Turunnya hujan
Kemakmuran.



Salam Kasih Sayang
Semoga kita sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

Thursday, March 6, 2014

InsyaAllah

Bismillahirrahmanirrahim....

Sudah lama kiranya saya tidak berkongsi sesuatu di blog ini. Entry kali ini saya hanya nak kongsikan tentang perkataan atau kalimah InsyaAllah...Pandangan ini daripada seorang hamba Allah yang sangat hebat saya kira. Kerana beliau telah banyak mengarang buku-buku Islamik. Hilal Asyraf...

Jom kita baca...

*********************************************************

Saya sering dianggap tidak serius dalam berjanji kerana pada akhir kalam saya dalam berjanji, saya letakkan kalimah "InsyaAllah".

Mungkin sudah jadi resmi orang ramai bahawa bila kata "InsyaAllah" seakan menandakan ketidak pastian. Saya juga asalnya begitu. Hinggalah pemilik kedai alat tulis di Jordan menyedarkan saya.

Saya nak fotostat kertas di kedai beliau. Saya pun cakap: "Pakcik, saya nak fotostat kertas ni."

Kemudian pakcik itu cakap: "Cakaplah InsyaAllah."

Saya hairan: "huh? Kenapa? Saya memang betul-betul nak fotostat kertas ni."

Pakcik itu cakap: "Iya, sebab itulah kena cakap InsyaAllah. Biar Allah izinkan kamu fotostat kertas ini. Tanda kamu sungguh-sungguh nak fotostat kertas ini. Itu adalah Doa."

Peristiwa itu mengubah perspektif saya terhadap kalimah "InsyaAllah".

Dan masa saya nak uruskan passport saya sebelum pulang ke Malaysia, sekali lagi saya diingatkan juga oleh pengecop passport saya. Penjaga itu tanya:

"Kamu nak pergi mana ni?"
"Balik Malaysia."

Suasana senyap seketika, sambil penjaga itu terus memandang saya.

Kemudian penjaga itu bersuara: "Katalah InsyaAllah."

Saya baru perasan yang saya lupa menyebutnya, lantas berkata: "Ah, InsyaAllah." Sambil tersenyum-senyum.

Rupa-rupanya penjaga itu tunggu saya sebut InsyaAllah, tanda saya memang sungguh-sungguh nak sampai ke Malaysia, mendoakan perjalanan saya agar saya benar-benar diizinkan Allah untuk sampai. Sungguh saya rasa terdidik.

Itu menyebabkan hingga ke hari ini, saya memang suka sebut insyaAllah. Pada saya, di dalamnya ada keseriusan untuk berusaha keras merealisasikan janji dan ada juga pergantungan penuh kepada Ilahi. Ia seiring dalam sebuah kalimah.

Namun saya faham kenapa kalimah ini dipandang 'tidak meyakinkan'.

Saya ada banyak kisah fasal InsyaAllah di Malaysia. Saya pilih satu sahaja.

1 - Saya berjanji dengan fulan bin fulan ini untuk bertemu pada sekian hari dan sekian jam. Fulan bin Fulan berkata - "InsyaAllah nanti ana datang."

Sampai pada hari yang ditetapkan, pada jam ditetapkan, orang yang ditunggu tak datang-datang. Kemudian barulah datang SMS: "Akhi, ana tak dapat datang ni. Ada urusan lain."

"Enta kan dah janji dengan ana tempoh hari?"
"Eh, ana cakap InsyaAllah je."

Dan peristiwa sedemikian berlaku banyak kali.

Memang padanlah orang kita mudah tidak yakin bila orang menyebut "InsyaAllah".

Muhasabah.
Sekadar berkongsi.

*********************************************************

Allah berfirman di dalam Surah Al - Kahfi (ayat : 23-24) yang membawa maksud:

" Dan jangan sekali-kali engkau menyatakan terhadap sesuatu, ' Aku pasti akan melakukan itu esok pagi '. Kecuali dengan menyatakan InsyaAllah. Dan ingatlah kepada Tuhanmu apabila engkau lupa katakanlah, 'Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku yang lebih dekat kebenarannya daripada ini ". 


Oleh itu, saya menasihati dan memperingatkan diri saya dan kalian juga agar memperbetulkan niat kita, akhlak dalam berbicara, serta meletakkan Allah dalam segala perkara yang kita lakukan. InsyaAllah iaitu dengan izin Allah, maka berazam lah bersungguh agar kita menggunakan kalimah ini dengan sebaiknya. Jangan diremehkan atau dipersendakan. Ubah cara kita berfikir dan niatkan kerana Allah. 

Semoga berkongsian ini bermanfaat dan dipraktikkan dengan sebaiknya. 

Salam Kasih Sayang Semua...(^_^)

Tuesday, February 11, 2014

Semester Baru, Nafas Baru

Bismillah...

Assalamualaikum...

Bermulalah perjuangan saya bagi semester 2 ini...semoga segalanya dipermudahkan Allah,..sedikit berkongsian dari seorang sahabat di Facebook. 
 Tertarik untuk saya kongsikan bersama....

Adab menuntut ilmu


1. Bersihkan jiwa (ilmu itu adalah cahaya Allah, cahaya tidak akan masuk kepada pelaku maksiat) 

Inginku bawakan kisah imam syafie ketika mana beliau menceritakan keadaannya dalam sebuah syair. Ketika beliau menulusuri sebuah lembah dan telah melihat aurat seseorang. Lalu menjadi susutlah hafalannya terus dia bertanya kepada guru. Guru tersebut menjawab ilmu itu cahaya, cahaya tidak akan masuk kepada pelaku maksiat.

2. Adab dengan guru :

Di mana kita, ketika berada didalam Lecture Hall. Pernah kita ingat kembali keadaan kita dahulu sesama menjalani sesi persekolahan dan guru kita sering kali memperkatakan supaya adab didalam kelas selalu diperhatikan. Mudah sahaja jangan berkata tentang guru yang mengajar anda. Tika guru tersebut membuat suatu andaian silap maka husnu zhonlah dengan beliau.

2. Amanah dengan ilmu : 
i. Ilmu itu untuk dicari dan bukanlah ilmu yang mencari kita.
ii. Ilmu itu untuk diamal dan bukan semata-mata sebuah cerita.
iii. Ilmu itu untuk disampaikan dan pernah disabda sebaik-baik manusia mereka yang bermanfaat kepada manusia selainnya.

3. Istiqamah dengan niat dan matlamat yang jelas
i. Niat yang berkaitan dengan hubungan dengan Allah SWT.
ii. Istiqamah dengan ibadah yang sohih.
iii. Jaga akhlak dengan makhluk.
iv. Dalami ilmu agama dari masa ke semasa.
v. Usaha untuk bergaul dengan orang-orang yang soleh.
vi. Kongsi niat & matlamat dengan sahabat. 
vii. Selalu memudahkan urusan orang lain.


Thursday, February 6, 2014

Kembara Sarjana Sem.I

Bismillah...

Assalamualaikum...

Entry kali ini saya just nak sharing about continuing study in master. Actually segan nak share, tapi kalau tak share macam rasa kurang, biasa lah blog saya ini lah tempat nak meluahkan, berkongsi dan sebagainya. Kalau saya kongsi,  mudah mudahan saya lebih semangat study dan kalian yang membaca juga dapat sesuatu. Inshaa Allah. Semoga dijauhkan dari rasa bangga diri, takbur dan sifat-sifat mazmumah yang lain. 

Pada mulanya ada niat hendak sambung belajar setelah tamat ijazah. Tapi bila fikir suatu perkara ini (kekangan) saya ingin tangguhkan niat dahulu. Entah la perasaan menjadi tidak menentu apabila sahabat-sahabat satu course menerima surat tawaran untuk sambung belajar. Masing-masing upload gambar surat tawaran. Perasaan jadi sedih sebab saya tak dapat lagi surat tawaran. Saya pun tak sure kenapa ada rasa seperti itu. Tak tahu nak describe,.. Kata-kata bawah ini saya luahkan...


Selepas saya hadiri konvokesyen adik saya, surat tawaran sampai hari khamis dengan keadaan basah sebab terkena hujan. Jumaat pakcik saya beri surat itu. Allahu... tak tahu nak kata apa. Alhamdulillah walaupun basah kan.. korang tengok tu..dari basah dan kering semula,.. dalam hati cakap errmm,..macam tiada rezeki sahaja...



Selepas itu, mulalah berbelah bagi sama ada hendak sambung study atau tidak. Abah cakap sukahati. Ibu pun sama. Istikharah la juga semoga Allah tetapkan yang terbaik buat diri. Isnin depannya ibu kata pergi jer... (sebab ibu tanya pandangan kawan-kawan dia..) all of them gave positive opinion. Agak sukar juga nak decide,.. saya pun menghubungi pensyarah semasa membuat Projek Sarjana Muda dahulu untuk menanyakan pandangan beliau. Maka, pastinya positif la. Pensyarah ada nyatakan pandangan untuk saya berfikir juga. Beliau galakan untuk menyambung pengajian. Alhamdulillah, pada 9 September 2013 saya berjaya mendaftarkan diri sebagai pelajar postgraduate. Sekali lagi sebuah perasaan yang tenang dan syukur teramat. InshaaAllah ini jalan terbaik untuk aku. Walaupun penat, pening, letih dan seumpamanya.. turun naik proses pembayaran, proses pendaftaran, proses pemohonan biasiswa dan sebagainya. Alhamdulillah semua dipermudahkan. Pasti ada hikmah disebalik semua ini. 


Berlalunya Semester I, pelbagai perkara saya lalui. Sebuah suasana yang berbeza semasa zaman degree dahulu. Walaupun sama universiti. Entah lah..itu yang saya rasa. Bergaul dengan pelajar yang lebih dewasa. Pemikiran mereka lebih matang dan jelas. Saya yang setahun jagung ini baru nak memasuki dunia yang sebenar. Saya banyak belajar tentang bagaimana cara membuat penyelidikan yang lebih baik, bagaimana prosesnya, hadiri bengkel itu dan ini dan pelbagai lagi. Sejujurnya bukan mudah sesuatu yang baru kita terokai dan ia juga bukan mustahil untuk kita selidiki. Syukur alhamdulillah Allah hadirkan sahabat-sahabat yang membantu, pensyarah yang tidak jemu memberi kata-kata perangsang semangat. Namun, saya kira saya tidak berjaya menguruskan waktu saya sebaiknya. Mana tidaknya proposal kajian saya masih dalam proses pengambaraan lagi... (huhu,...Allahuakbar). Terukkan.. pensyarah saya cakap itu lah proses belajar, sabar.. usaha kena ada, fokus, bersungguh-sungguh. Pasti awak boleh. 

"Sabar itu kunci kepada kebijaksanaan"

Berkaitan dengan biasiswa, saya telah memohon dua biasiswa iaitu Mymaster (Kementerian Pelajaran Malaysia, KPM) dan Zamalah (Biasiswa UTM). Zamalah perlu melalui proses interview manakala My Master tidak perlu. First time pergi interview untuk mohon biasiswa. Kecut perut juga lah.. hihi.. Alhamdulillah baik-baik sahaja. Cuma apabila disentuh isu pendidikan huhu,..hancur semua. Sebab rajin sangat menelaah surat khabar..hihi.. Dipendekkan cerita, saya mendapat tawaran kedua-duanya. Alhamdulillah.. Setelah dipertimbangkan, hati saya lebih kepada biasiswa MyMaster. Walaupun biasiswa diberikan hanya kepada yuran pengajian sahaja. Inshaa Allah, semoga pilihan ini yang terbaik.

9 Februari 2014 akan bermula Semester II.

 Allauakbar sungguh cepat masa berlalu. Saya akan meneruskan perjuangan dilapangan ilmu ini. Semoga Allah memberi saya kesungguhan dalam proses pengembaraan ilmu ini. Mohon sahabat semua mendoakan kejayaan saya menamatkan pengajian sarjana ini dengan jayanya. inshaaAllah aminn..


~Antara buku paling best untuk kajian saya~


"Berjuang dalam lapangan akademik menjadikan pendidikan sebagai senjata utama memerangi kejahilan, membina manusia yang ada common sense, dan membentuk manusia yang akan menyumbang pada kesejahteraan manusia sejagat,dunia dan akhirat"
 Hadi,2013 

'Wahai Allah, ampunilah segala dosa-dosa kami, andai kami terleka tegurlah Allah, andai kami terbabas jangan dibiar lama Allah, andai kami bergelumang dengan noda pautlah kami dengan kasihMu. Wahai Allah, sesungguhnya Engkau la Maha atas segalanya. Terangkan hati kami dalam meniti kembara ilmu ini. Berilah kami kejayaan untuk menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan dengan cemerlang. Kuatkan semangat kami dalam perjuangan ini'.

Semoga kita semua sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayang Allah. 
Terima kasih sudi membaca.
Salam kasih sayang semua (^_^)

Wednesday, January 22, 2014

Mat Tonoi Dalam Kenangan

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum..

Pagi ini mendapat perkhabaran tentang kematian seorang insan istimewa. Semasa saya kecil dahulu. Saya dan keluarga tinggal di sebuah kampung iaitu Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati, Ledang, Johor. Saya bersekolah rendah di sana dari tadika hingga darjah enam. Banyak kenangan tercipta bersama sahabat-sahabat dan warga kampung amnya. 

Berbalik kepada kisah insan istimewa itu. Kisahnya yang setakat saya tahu. Beliau seorang anak yang sangat pandai. Namun apabila mengalami demam panas, beliau menjadi tidak ciuman. Walaupun beliau begitu, seluruh warga kampung tidak pernah memulaunya. Beliau senang dengan kehidupannya begitu. Beliau suka berjalan-jalan dan itulah aktiviti beliau setiap hari. Sehingga umur saya menjangkau 24 tahun ini, saya masih mengingati raut wajah dan nama beliau "MAT TONOI"
Nama sebenarnya adalah Manan@Md Nor Bin Manaf.

Pada tanggal 22 Januari 2014 ini, telah perginya seorang insan istimewa ini menghadap Penciptanya. Beliau telah dilanggar lari lebih kurang pukul 3.00 pagi di kampung nya sendiri iaitu di hadapan rumah Atok Ngah Yakmah (atok ini yang menjaga saya waktu kecil). Atok juga semakin uzur, semoga Allah memberi keberkatan usianya. Semoga rohnya dicucuri Rahmat. 

Al-Fatihah

Dalam kenangan.....



Pastinya beliau adalah ahli syurga...dan kita masih lagi tidak pasti pengakhiran kita. Pengakhiran itu adalah pilihan kita sama ada untuk ke jalan Nya atau sebaliknya. Kematian itu adalah pasti. Ayuh perlengkapkan diri untuk kehidupan di sana nanti. 

p/s : jika bayi-bayi atau anak-anak kecil demam, jangan ambil mudah bawa jumpa doktor atau beli ubat. Dikuatiri akan memudaratkan akal bayi itu. 

Terima Kasih Sudi Membaca
Salam Kasih Sayang Semua..

Tuesday, January 21, 2014

Muslimah Itu


Muslimah itu,

Terkadang gelak kuat tak henti-henti,
Terkadang juga minum berdiri,
Terkadang sebelum tidur terlupa baca doa dan ayat Kursi,
Terkadang pakai stoking mula dari kaki kiri,
Terkadang aci redah sarung kasut orang lain tanpa di sedari.



Muslimah itu,
Terkadang gembira sampai terlompat terkinja sambil senyum tayang gigi,
Terkadang air matanya menitis laju tak terperi,
Terkadang rasa lemah sampai tak mampu nak bangun-bangun lagi,
Terkadang rasa marah menguasai diri,
Sampai rasa nak lempang orang tu laju-laju without mercy.



Muslimah itu,
Adalah manusia biasa,
Yang tak lari dari segala bagai perasaan sebagai manusia,
Yang tak lari dari segala macam ujian dan pancaroba,
Yang tak lari dari perasaan lemah dan tak bermaya,
Yang tak lari dari buat khilaf salah dan dosa
Kerana apa?
Kerana dia juga manusia biasa.
Apa-apa pun,
Yang pastinya,



Muslimah itu,
Sentiasa bangkit bila terjatuh,
Sentiasa cuba gembirakan orang lain walau hatinya sendiri remuk,
Sentiasa cuba untuk improve diri,
Dari semasa ke semasa tanpa henti,
Walau terkadang dia tersungkur,
Itu bukan kerana dia lemah,
Tapi itu kerana dia cuba ambil masa untuk bangkit semula,
Jadi kuat dari sebelumnya,
Kerana dia berusaha,
Untuk menjadi bidadari dunia,
Dan juga di akhirat sana.




Sumber : Super Akhawat

Saturday, January 4, 2014

Tahun 2014

Bismillahhirrahmanirrahim

Entry ini merupakan entry pertama pada tahun 2014 ini,..apa khabar sahabat-sahabat sekalian,..harapnya kalian sentiasa di dalam keadaan yang baik-baik hendaknya. Setiap kali masuk tahun baru, tidak kira samaada tahun baru hijrah atau masihi, pasti azam baru juga dipasang. Matlamat apa yang ingin dicapai, impian apa yang ingin direalisasikan dan sebagainya. Yang pastinya impian atau matlamat itu pasti yang terbaik buat diri kita bukan.

Pada hemat saya, azam amat penting dalam diri setiap manusia. Perancangan yang baik perlu dilakukan agar kehidupan kita terarah dan bermatlamat. Cuba bayangkan hidup kita tiada perancangan apa-apa. Pergi ke sana ke mari juga tiada matlamat. Maka, sia lah kehidupan kita. Adik-adik yang ke sekolah juga tahu mengapa pergi ke sekolah, adalah untuk belajar. 

Namun begitu, matlamat atau visi ini sering kali kita terlupa jika kita tiada sesuatu motivasi dalam diri untuk pastikan tindakan yang kita lakukan sentiasa fokus untuk mencapai matlamat itu. Matlamat akan menjadi sebuah angan-angan sahaja. Sebagai contoh ingin memiliki sebuah kereta. Akan tetapi kita tiada usaha untuk capai impian itu. Bagi mencapai impian itu perlu usaha. Usaha yang berterusan perlukan sebuah motivasi atau semangat dalam diri seseorang.

Saya juga ada matlamat, ingin itu dan ini. Pernah saya mendapatkan nasihat daripada seorang pensyarah. 

"Dr. bagaimana saya hendak kekalkan motivasi dalam diri saya ini agar sentiasa fokus pada apa yang saya hendak dan ingin capai?. Boleh kiranya Dr memberi sedikit motivasi buat saya"

Lalu pensyarah menjawab...

"Sebenarnya, saya ini boleh beri motivasi yang sementara. Boleh saya beri motivasi sedikit. Namun, motivasi yang kekal adalah dari Allah. Dia akan memberi rasa dan keinginan itu. Pinta la motivasi dari Sang Pencipta. Pasti motivasi itu akan membawa awak kejalan yang benar"

Begitu lah perkongsian pensyarah saya tentang motivasi. Saya speechless. Subhanallah..begitu rupanya..mengapa aku tidak perasan,..mungkin terhijab dengan titik noda. Allahu,...

 Tempat kebergantungan yang utama adalah daripada Allah. Manusia adalah hamba yang tersangat la lemah. Tiada daya, tiada kuasa.. malah udara yang kita bernafas ini adalah dari Allah. Allhurabbi... terasa hina sangat diri ini. Sering melakukan maksiat, sering melakukan dosa, sering melanggar suruhannya.. tetapi Allah tidak pernah lupa kita. Banyak mana salah kita, pintu taubat sentiasa terbuka buat hamba Nya. Itu la kehidupan, untuk mencapai impian atau matlamat perkara utama adalah kita perlu dekat dengan Pencipta kita agar semangat untuk melakukan sesuatu perkara itu berterusan dan kita akan menjadi hamba yang fokus melakukan sesuatu perkara. 

Mudah-mudahan perkongsian yang sedikit ini memberi manfaat buat sahabat-sahabat sekalian. Buat ingatan diri saya yang hina dan tiada apa-apa ini. Moga Allah redha kita semua dan sentiasa di dalam rahmat Allah.


~Pandangan mata selalu menipu, 
Pandangan akal selalu tersalah, 
Pandangan nafsu selalu melulu, 
Pandangan hati itu yang hakiki,
 Kalau hati itu bersih~


~Laluan hidup itu berliku..hati-hati melangkah agar tidak tersasar~


"Duhai Allah, hamba memohon keampunan dari mu, Engkau ampunilah segala dosa-dosa ku yang ibarat pasir di pantai. Duhai Allah, Engkau bimbinglah diriku agar sentiasa di jalan Mu. Hamba yang sering melakukan dosa ini, meminta agar Engkau menerima taubat hamba. Duhai Allah, jadikan hamba pada tahun ini, hamba yang lebih bermanfaat buat keluarga serta ummah. Limpahilah rezeki yang barakah  dan umur yang bermanfaat. Tiada daya dan upaya selain pergantungan hamba pada Mu.. Ya Allah... "


Sekian...

Terima kasih sudi membaca sahabat-sahabat. 
Salam Kasih Sayang Semua (^_^)

Emosi seorang Ibu

Bismillah Hai semua, happy holiday.... Gembiranya zati lihat sahabat-sahabat Zati berjalan sana-sini. Ada yang berjalan ke luar negara d...